Jujurnya, saya cemburu bila kawan sekelas Daniel masa darjah 3 dulu sudah boleh baca Al-Quran. Bukan salah dia, tapi salah saya yang keliru dan jahil, tidak tahu apa sebenarnya tugas hakiki seorang ibu.
Meletakkan 100% tugas mengajar kepada guru sekolah tanpa mengambil tahu progres anak-anak, itu lah akibatnya.
"Ummi. Saya ingat lagi dulu masa darjah 2, dalam kelas iqra, ustaz tidak mengajar. Dia masuk kelas, duduk dan main handphone saja. Murid-murid dibiar bebas buat apa saja".
Terkejut saya dengar luahan anak saya baru-baru ini. Padahal, sekolah lama dia dulu bukan sekolah kaleng-kaleng, tak sangka subjek agama dianggap remeh, mungkin sebab tidak diuji dalam UPSR.
Baiknya Allah mengatur hidup kami sehingga terpaksa pindah ke kampung, bersekolah di kampung. Masa itu, baru lah saya nampak rupa-rupanya anak saya sudah jauh ketinggalan dalam pengajian Al-Quran berbanding kawan-kawan yang seumur dengannya.
Bayangkan, umur 9 tahun dia masih merangkak di Iqra 3 dan baru masuk darjah 1 di Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Sekali lagi saya akui, bukan salah dia, tapi salah saya 😔
Baru lah tahun itu saya mula terfikir mahu tuition-kan dia dengan guru mengaji. Bukan saya tidak ada impian mahu mengajar anak sendiri, tapi sebab masa itu anak yang bongsu masih kecil dan dalam masa yang sama, saya kerap keluar berurusan dengan customers dan team bisnes di kawasan bandar.
Masya-Allahu la quwwata illa billah..
Ternyata pindah ke kampung adalah antara keputusan terbaik dalam hidup saya. Walaupun rutin kehidupan kami berubah secara drastik, namun di sekolah baru yang jauh dari kesibukan kota, mereka berpeluang belajar dengan guru-guru Al-Quran yang lebih prihatin.
Alhamdulillah.. sebelum hujung tahun dia sudah boleh baca Al-Quran dan lulus dalam ujian kelayakan untuk masuk kelas tahun 4 di Sekolah Agama Negeri.
Berbeza pula ceritanya dengan anak saya yang kedua. Bukan sejenis fast learner seperti abangnya, tetapi beruntungnya dia kerana sejak darjah 1 dia sudah diajar oleh guru-guru agama di sekolah yang sama dengan abangnya. Alhamdulillah.. darjah 3 tahun ini dia sudah sampai surah Ar-Ra'd.
Tidak dinafikan, guru-guru sekolah sangat banyak membantu mereka, namun sejak PKP, progres anak-anak agak terbantut.
Jika ada antara sahabat saya yang risau melihat kecanduan anak-anak pada gajet, di sini saya kongsikan pengalaman saya bagaimana PKP ini membuka ruang yang lebih untuk anak-anak saya mendekati Al-Quran.
Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
"... Seorang wanita adalah pemimpin bagi anggota keluarga suaminya serta anak-anaknya dan dia akan ditanya tentang mereka.. "
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Awal tahun ini, selepas mendapat inspirasi dan tamparan hebat dari beberapa buah buku yang ditulis oleh Ummi Profazz, saya mula sedar rupa-rupanya tugas hakiki seorang ibu bukan lah bekerja, memasak, mengemas rumah dan sebagainya.. tetapi adalah untuk mendidik dan mentarbiah anak-anak agar anak-anak itu menjadi pemimpin yang berkualiti pula untuk orang lain.
Baru lah saya faham, rupa-rupanya hidup kita di dunia ini adalah untuk menjadi pemimpin dan melahirkan pula pemimpin yang berkualiti. Ini lah yang disebut di dalam Al-Quran sebagai "Khalifah".
But.. a good leader is a good example.. right?
Macamana kita nak melahirkan pemimpin yang berkualiti jika diri kita sendiri bukan lah pemimpin yang berkualiti? Macamana kita nak anak kita pandai baca Al-Quran, kalau kita sendiri buta huruf dan tidak pula berusaha untuk belajar?
Benar lah kata para ilmuwan, bila kita semakin faham, sebenarnya kita semakin tak faham. Macam-macam persoalan mula timbul dalam fikiran saya.
Ummi Profazz juga menyebut, dalam mendidik anak-anak, beliau tak suka guna kaedah paksaan. Ya.. saya pun tak suka paksa anak.. tapi.. macamana anak-anak saya mahu menghafal Al-Quran tanpa perlu dipaksa?
Masya-Allah.. dalam saya mencari-cari jawapan, rupa-rupanya saya sedang mencipta jawapan. Tidak sangka, segala usaha pembelajaran dan pengajaran saya bersama Al-Quran sejak 2019 secara diam-diam telah berjaya menarik minat anak-anak kepada Al-Quran.
Bermula bulan lepas, melihat kelancaran bacaan Al-Quran mereka yang semakin membaik, saya mula ketatkan jadual Al-Quran mereka.
Kalau sebelum ini, mereka cuma baca 1 muka sehari, bulan lepas si abang perlu baca 4 muka selepas solat dan si kakak pula perlu baca 1 muka selepas solat. Amazingly.. mereka follow saja tanpa banyak soal.
Bulan ini pula, saya tuition-kan lagi mereka dengan 16x kelas tahsin online bersama Ustazah Ummi Kalsum. Dan dalam masa yang sama, si abang juga mula sibuk dengan 5x kelas hafazan online setiap minggu bersama Ustaz Izam.
Masya-Allah.. semua ini mereka follow saja tanpa banyak soal 😅
Ya. Itu memang impian saya dari dulu. Saya sudah cuba pelbagai kaedah, tapi malangnya mereka tak "tahan" belajar dengan ibu sendiri. Lembut macamana pun saya mengajar, mereka tak boleh tahan dari mengalirkan airmata.
Apalagi kalau hafazan, baru disuruh ulang 3x, tangki dah bocor. Aduhhh.. kalau ustaz suruh 10x, boleh pula dia buat. Makanya, saya terpaksa mengalah dan sedar diri bahawa saya hanya boleh jadi pom-pom girl untuk mereka ðŸ¤
Tapi.. bagus juga kan? Dalam kesibukan mereka melayan PdPR dan kelas-kelas Al-Quran secara online siang dan malam, saya juga dapat fokus menjaga hafalan saya di samping menambah kursus-kursus baru dari institusi lain.
Alhamdulillah 'ala kulli hal..
"Anak saya ada juga kelas mengaji online 1x seminggu dengan guru sekolah dia. Okay lah tu kan?".
Minta maaf.. jawapan saya, TAK OKAY.
Saya percaya, kalau ada tuition Matematik, English.. berebut kita nak hantar anak kita ke sana. Tapi, kenapa kita tak pernah terfikir mahu tuition-kan mereka dengan kelas-kelas Al-Quran dan hanya bergantung pada guru mengaji yang sedia ada? Adakah kerana tidak diuji dalam peperiksaan besar?
Sama-sama kita beringat. Kita ini lah yang sedang menduduki ujian terbesar dari Allah dan keputusannya bakal kita terima di Hari Perhitungan kelak. Jika dewasa nanti anak kita masih tiada ilmu Al-Quran yang cukup, mudah saja dia menuding jari ke arah kita di hadapan Allah kelak.
Na'uzubillahi min zalik..
Sahabat sekalian..
A good leader is a good example.
Jika anak tengok kita leka melayan handphone, itu lah juga yang akan menarik minat mereka. Jika anak tengok kita sibuk dengan Al-Quran, itu lah juga yang akan menarik minat mereka.
Pembelajaran adalah tugas seumur hidup, tanpa batas umur. Setiap hari adalah peluang untuk kita menambah ilmu baru di samping membaiki amalan yang kemarin dengan kualiti yang lebih baik lagi.
"Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya".
(QS Al-Kahfi 18:104)
Ayuh sama-sama kita jadi orang yang tidak mudah berpuas hati dengan ilmu dan amalan yang sedia ada. Semoga Allah redha, semoga hidayah Allah sentiasa mengiringi perjalanan kita.
Terima kasih sudi baca sampai habis. Semoga bermanfaat 😊
0 Comments